Saya ingin membuat penjelasan berhubung beberapa laporan dan naratif yang timbul selepas kenyataan saya mengenai persoalan calon Perdana Menteri selepas PRU16.
Pertama sekali, saya ingin menjelaskan dengan tegas bahawa saya tidak pernah mengatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon pilihan saya untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU16.
Apa yang saya nyatakan ialah satu pendirian bersyarat dalam konteks demokrasi berparlimen — sekiranya selepas PRU16 beliau masih memperoleh mandat rakyat dan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka hakikat tersebut perlu dihormati.
Itu bukan bermaksud saya menamakan beliau sebagai calon pilihan saya.
Sebaliknya, dalam kenyataan yang sama, saya telah menegaskan bahawa politik Malaysia sentiasa dinamik dan kemungkinan berlakunya perubahan kerajaan selepas PRU16 tidak boleh diketepikan.
Saya juga menegaskan bahawa dalam kerajaan gabungan, persoalan paling penting ialah siapakah tokoh yang mempunyai pengalaman, kompetensi dan kemampuan untuk menjadi titik pertemuan antara pelbagai kepentingan politik.
Jadi, janganlah kenyataan bersyarat tersebut dipetik seolah-olah saya telah memberikan sokongan politik peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PENDIRIAN SAYA JELAS: ZAHID ADALAH PILIHAN SAYA
Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, saya ingin menyatakan pendirian saya dengan jelas:
Dalam perbincangan mengenai siapa yang saya lihat sesuai untuk dipertimbangkan sebagai Perdana Menteri selepas PRU16, saya menyokong Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pandangan ini saya nyatakan berdasarkan pertimbangan terhadap pengalaman, keupayaan mentadbir, pengalaman dalam kerajaan serta kemampuan mengurus realiti politik gabungan.
Saya melihat pengalaman tersebut sebagai faktor penting kerana Malaysia tidak boleh mengambil risiko memilih seorang Perdana Menteri yang memerlukan tempoh terlalu lama untuk memahami selok-belok pentadbiran Persekutuan.
Negara berdepan cabaran ekonomi global, teknologi, geopolitik, kos sara hidup dan perubahan landskap politik yang sangat pantas.
Sebab itu saya berpandangan bahawa pengalaman dan keupayaan untuk “hit the ground running” perlu menjadi antara ukuran utama dalam menentukan calon Perdana Menteri selepas PRU16.
KENAPA NAMA ZAHID?
Saya menyebut nama Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan kerana beliau Presiden UMNO semata-mata.
Sebaliknya, beliau ialah seorang tokoh yang telah melalui pengalaman panjang dalam politik dan pentadbiran kerajaan serta kini berada pada kedudukan penting dalam kerajaan Persekutuan.
Dalam senario politik gabungan, seorang calon Perdana Menteri juga perlu mempunyai kemampuan untuk berunding, membina konsensus dan menjadi jambatan antara pelbagai parti serta kelompok masyarakat.
Atas sebab itulah, nama Zahid tidak boleh diketepikan daripada perbincangan mengenai kepimpinan selepas PRU16.
JANGAN PUTAR BELIT KENYATAAN
Saya menghormati laporan media dan kebebasan media.
Malah, laporan MalaysiaGazette dan Utusan Malaysia itu sendiri menunjukkan bahawa kenyataan saya mengenai Anwar dibuat dalam konteks “jika selepas PRU16 Anwar masih mempunyai mandat rakyat serta sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat”.
Tetapi konteks tersebut tidak harus diputar menjadi seolah-olah saya telah mengumumkan:
“Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri pilihan saya.”
Itu bukan pendirian saya.
Pendirian saya ialah kita perlu menghormati keputusan demokrasi sekiranya seseorang masih mendapat mandat majoriti selepas pilihan raya.
Pada masa yang sama, saya mempunyai pandangan sendiri mengenai siapa yang saya fikir wajar dipertimbangkan untuk kepimpinan negara selepas PRU16 — dan nama yang saya sokong ialah Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
PRU16 AKAN MENJAWAB SEGALANYA
Akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan keputusan PRU16.
Tidak ada seorang pun boleh mendahului keputusan rakyat.
Tetapi sebelum pilihan raya, adalah menjadi hak setiap pemerhati politik, pemimpin masyarakat dan rakyat untuk membincangkan secara terbuka tentang siapa yang mempunyai pengalaman, kompetensi dan kemampuan untuk memimpin Malaysia.
Justeru, saya membuat penjelasan ini supaya tidak timbul lagi kekeliruan:
Saya tidak pernah mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah calon PM pilihan saya selepas PRU16.
Saya cuma mengatakan bahawa jika beliau masih mempunyai mandat majoriti selepas PRU16, mandat tersebut wajib dihormati dalam sistem demokrasi berparlimen.
Bagi pendirian peribadi saya mengenai calon yang saya sokong untuk jawatan Perdana Menteri selepas PRU16, saya memilih Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Itulah pendirian saya. Jelas, terbuka dan konsisten.