Isu Tabung Haji (TH) bukan isu kecil bagi kami di Majlis Perundingan Melayu (MPM). Ia bukan sekadar isu kewangan, pengurusan aset atau pertikaian politik. Bagi kami, perjuangan mempertahankan Tabung Haji adalah ibarat darah dan daging sendiri. Terlalu dekat di hati, terlalu besar nilai amanahnya dan terlalu penting untuk masa depan umat Islam di negara ini.

Persoalannya, apakah kebimbangan yang pernah kami suarakan dahulu akhirnya menjadi kenyataan?

Inilah sejarah perjuangan yang tidak harus dipadamkan daripada ingatan.

PERJUANGAN YANG BUKAN BERMULA SEMALAM

Saya masih ingat bagaimana MPM bangkit menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan dan keputusan berkaitan Tabung Haji ketika era pemerintahan Pakatan Harapan 1.0.

Saya sendiri bersama Allahyarham Tan Sri Zaman Khan pernah mengambil langkah protes di hadapan bangunan Tabung Haji. Allahyarham Tun Hanif Omar juga pernah memaklumkan kepada saya bahawa sahabat baiknya, Allahyarham Tengku Aziz, turut hadir ketika itu.

Kami bukan bangkit kerana kepentingan politik. Kami bangkit kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena terhadap pendekatan yang diambil atas alasan kononnya mahu menyelamatkan Tabung Haji.

Pada pandangan kami, tindakan memindahkan atau menjual aset-aset Tabung Haji, termasuk saham dan kepentingan pelaburannya, telah menimbulkan persoalan besar tentang masa depan institusi tersebut.

Saya pernah menyifatkan tindakan menjual aset-aset berkenaan secara borong seolah-olah menjual besi buruk. Itu merupakan gambaran betapa kecewanya kami melihat keadaan yang berlaku terhadap sebuah institusi yang dibina dengan pengorbanan dan kepercayaan jutaan umat Islam.

KEBIMBANGAN YANG PERNAH KAMI SUARAKAN

Baru-baru ini, saya sekali lagi membangkitkan isu Tabung Haji dalam satu majlis penerangan khas anjuran UMNO di Hotel Premiero.

Majlis tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran penuh. Antara tokoh yang hadir termasuk Prof. Sham Rahayu, Tan Sri Madinah, Tan Sri Irwan Sarigar, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato' Zahid Asraf Wajdi, Shahidan Kassim, YB Tuan Haji Takiyuddin Hassan serta beberapa Ahli Parlimen PAS dan bekas Timbalan Menteri yang pernah bertanggungjawab terhadap portfolio Tabung Haji.

Dalam majlis tersebut, saya menegaskan bahawa persoalan pengurusan dan penjualan aset Tabung Haji ketika pentadbiran PH 1.0, khususnya ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, tidak boleh dianggap sebagai isu yang sudah selesai begitu sahaja.

Saya berpendirian bahawa segala keputusan berkaitan penjualan aset dan pemindahan kepentingan pelaburan TH perlu diteliti semula secara menyeluruh. Sekiranya terdapat salah urus, kecuaian atau sebarang pelanggaran amanah, pihak yang bertanggungjawab hendaklah disiasat dan dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.

HARGA SEBUAH PERJUANGAN

Apa yang mungkin tidak diketahui ramai ialah perjuangan ini turut membawa tekanan yang besar kepada mereka yang tampil bersuara.

Saya masih mengingati perkongsian Allahyarham Tun Hanif Omar kepada saya mengenai tindakan cukai tambahan yang dikenakan terhadap beliau, yang menurut ceritanya berjumlah sekitar RM1 juta.

Allahyarham Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Allahyarham Tan Sri Zaman Khan pula berdepan perubahan kedudukan dalam jawatan masing-masing, termasuk kehilangan jawatan pengerusi GLIC yang pernah disandang oleh Tan Sri Zaman.

Allahyarham Tengku Aziz juga pernah berdepan tekanan dan gangguan yang menurut pengalaman serta maklumat yang dikongsikan kepada saya amat berat.

Bagi diri saya sendiri, saya melalui hampir enam bulan yang cukup mencabar apabila berdepan pelbagai tindakan dan proses siasatan melibatkan pihak SPRM, PDRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Bank Negara Malaysia.

Akhirnya, saya juga berdepan taksiran cukai tambahan yang sehingga kini masih menjadi beban yang perlu saya tanggung.

Saya tidak menceritakan semua ini untuk meminta simpati. Saya hanya mahu generasi hari ini memahami bahawa mempertahankan prinsip dan amanah kadangkala menuntut pengorbanan yang amat besar.

Inilah harga sebuah perjuangan.

AL-FATIHAH BUAT PARA PEJUANG

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang telah mendahului kita, khususnya Allahyarham Tun Hanif Omar, Allahyarham Tan Sri Zaman Khan, Allahyarham Tengku Aziz dan semua yang pernah berdiri bersama mempertahankan amanah ini, jasa dan pengorbanan kalian tidak akan kami lupakan.

Al-Fatihah.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka, mengampunkan segala dosa dan menempatkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Amin, amin ya Rabbal alamin.

PESANAN SAYA KEPADA DATO' SERI AHMAD ZAHID HAMIDI DAN UMNO

Selepas forum penerangan tersebut, saya turut menyampaikan pandangan kepada Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO wajib terus memperjuangkan isu Tabung Haji.

Ini bukan masa untuk berdiam diri atau sekadar mengimbas sejarah.

Kerajaan perlu mengambil inisiatif yang bersungguh-sungguh untuk meneliti semula janji-janji berkaitan pemulihan kedudukan kewangan dan aset Tabung Haji.

Saya juga berpandangan bahawa pihak-pihak yang terlibat dalam keputusan pengurusan dan penjualan aset ketika era tersebut, termasuk Lim Guan Eng, Tony Pua dan mana-mana pihak lain yang berkaitan, wajar diberikan penelitian sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Jika terdapat bukti salah laku atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh politik.

Kita tidak menuntut hukuman tanpa perbicaraan. Kita menuntut kebenaran, ketelusan dan keadilan.

TANGGUNGJAWAB KERAJAAN MASA HADAPAN

Sekiranya gabungan BN, PAS dan rakan-rakan dalam Wawasan diberi mandat membentuk kerajaan pada masa hadapan, saya meletakkan pemulihan dan pengukuhan Tabung Haji sebagai antara tanggungjawab penting yang mesti diberikan keutamaan.

Kita mesti menghidupkan semula kekuatan institusi ini.

Kita mesti mengkaji kemungkinan membeli kembali aset-aset strategik yang pernah dijual, sekiranya langkah tersebut berdaya maju dari sudut kewangan dan memberi manfaat kepada pendeposit.

Kita juga perlu memastikan pengurusan TH bebas daripada campur tangan yang tidak wajar, mempunyai tadbir urus yang kukuh serta sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit.

Saya masih teringat pesanan Allahyarham Tun Hanif Omar kepada kami:

"Tentukan kita beli balik mana-mana aset yang telah dijual oleh mereka."

Pesanan ini membawa makna yang amat besar. Ia bukan sekadar soal membeli semula aset, tetapi lambang keazaman untuk memulihkan semula kekuatan dan maruah sebuah institusi umat Islam.

TABUNG HAJI ADALAH FARDU KIFAYAH

Pada hemat saya, mempertahankan Tabung Haji merupakan satu tanggungjawab besar umat Islam. Ia berkait rapat dengan konsep fardu kifayah kerana institusi ini membantu umat Islam membuat persediaan untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Justeru, Tabung Haji tidak boleh dilihat semata-mata sebagai sebuah entiti kewangan biasa.

Ia adalah institusi amanah yang mempunyai nilai agama, sosial dan ekonomi kepada umat Islam.

Jangan sesekali kita membiarkan kepentingan jutaan pendeposit terabai. Jangan biarkan sejarah pengorbanan mereka yang membina institusi ini dipersiakan.

Tabung Haji mesti dipertahankan, dipulihkan dan diperkasakan semula.

Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa perjuangan MPM mengenai Tabung Haji bukan perjuangan bermusim. Ia adalah perjuangan prinsip, perjuangan amanah dan perjuangan demi kepentingan umat Islam.

Kami pernah bangkit dahulu. Kami masih ingat apa yang berlaku. Dan kami tidak akan berhenti menyuarakan kepentingan para pendeposit.

JANGAN LUPA SEJARAH PERJUANGAN INI. TABUNG HAJI ADALAH DARAH DAN DAGING KITA!

Sekian.

Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Kepimpinan serta Pentadbiran Negara
Majlis Perundingan Melayu (MPM)
2 Oktober 2026