Hari ini saya berada bersama YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam Himpunan Mesra Alumni UiTM.
Sebagai seorang alumni yang melalui perjalanan ITM hingga UiTM, saya melihat pertemuan ini bukan sekadar sebuah himpunan alumni. Ia adalah pertemuan antara sejarah, jasa, perjuangan dan masa depan.
UiTM yang bermula daripada Dewan Latehan RIDA pada 1956, berkembang melalui Maktab MARA dan Institut Teknologi MARA (ITM), sebelum menjadi Universiti Teknologi MARA, telah membuka ruang pendidikan kepada jutaan anak bangsa.
Bagi saya, kekuatan sebenar UiTM bukan hanya pada jumlah graduannya.
UiTM ialah kisah mobiliti sosial.
Ia adalah kisah anak daripada keluarga biasa yang diberikan peluang untuk mengubah masa depan keluarga melalui pendidikan.
Dalam ucapan PMX, saya amat tertarik dengan penekanan bahawa pendidikan mampu memecahkan tembok kemiskinan, keterbatasan dan sosial.
Inilah roh perjuangan pendidikan yang perlu kita teruskan.
PMX turut mengimbau jasa tokoh pendidikan seperti Allahyarham Tun Arshad Ayub — seorang tokoh yang terkenal dengan ketegasan, disiplin, kesungguhan terhadap pendidikan dan pendekatan pengurusan yang tersusun.
Bagi saya, mengenang tokoh terdahulu bukan bermakna kita hidup dalam nostalgia.
Kenangan bukan untuk dikuburkan, tetapi dijadikan api perjuangan.
Apa yang telah dibina oleh generasi terdahulu mesti kita sambung dengan keberanian dan pemikiran baharu.
Hari ini UiTM mempunyai lebih 1.1 juta alumni.
Bayangkan kekuatan jaringan ini.
Alumni UiTM berada dalam kerajaan, sektor korporat, bidang profesional, pendidikan, perniagaan dan pelbagai lapangan kehidupan.
Dulu kita menerima peluang.
Hari ini kita mesti memberi peluang.
Sebab itu saya melihat usaha memperkukuhkan biasiswa, Tabung Pendidikan Alumni dan jaringan alumni sebagai satu langkah yang sangat bermakna.
Anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan tidak seharusnya tertekan sehingga pendidikan mereka terjejas hanya kerana masalah keperluan asas.
Jika seorang pelajar terpaksa memikirkan soal makan ketika sepatutnya memikirkan pelajaran, negara mesti hadir membantu.
Pendidikan bukan beban negara. Pendidikan ialah pelaburan masa depan negara.
Pada masa yang sama, PMX turut menyentuh soal agenda Bumiputera, tatakelola dan amanah.
Bagi saya, apa juga dasar yang dilaksanakan mesti disertai dengan kecekapan, integriti, ketelusan dan pemantauan supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.
Kita perlu melihat kekuatan dan kelemahan setiap agensi, memperbaiki apa yang perlu diperbaiki dan memastikan mereka yang diberi amanah benar-benar melaksanakan tanggungjawab.
Selepas 70 tahun, cabaran UiTM juga sudah berubah.
Kita memasuki zaman AI, teknologi digital, ekonomi baharu dan persaingan global.
Maka UiTM mesti terus menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang melahirkan bukan sahaja graduan, tetapi pemikir, pencipta, usahawan dan pemimpin masa depan.
Sebagai alumni, saya amat bangga dapat menyaksikan perjalanan panjang ini.
Daripada RIDA kepada MARA.
Daripada ITM kepada UiTM.
Daripada puluhan ribu kepada lebih sejuta alumni.
Tujuh dekad telah berlalu.
Kini tanggungjawab kita ialah memastikan tujuh dekad akan datang lebih gemilang.
“UiTM bukan sekadar legasi kita.
UiTM ialah amanah kita untuk masa depan.”
Penganalisis Politik cum Alumni UiTM
Faculty of Accountancy & Law